Sunday, February 19, 2017

Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP) di bawah MARA

Masih saya ingat, sebelum saya melanjutkan pelajaran ke Imperial College London pada Oktober 2014, saya merancang untuk membuat sangkutan klinikal di hospital HUKM di bahagian Radiologi (Ultrasound) selama lima bulan. Tujuannya adalah sebagai persediaan ke sana. Saya yang ketika itu bekerja sebagai pembantu penyelidik (research assistant) membuat keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada sangkutan klinikal yang akan dilakukan.

Namun, dari manakah saya akan dapatkan duit untuk membiayai saya sepanjang 5 bulan di HUKM? Saya bukanlah datang dari keluarga yang berada dan semestinya tidak sampai hati untuk meminta dari kedua ibu bapa yang sudah lanjut usia dan tidak bekerja.

Maka saya membuat strategi. Saya memohon bantuan zakat UKM, memohon bantuan di bawah beberapa NGO dan juga Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP) di bawah MARA. Saya membuat permohonan pada bulan April 2014 dan memulakan sangkutan klinikal juga pada bulan April. Saya juga cuba untuk mengelakkan melakukan pinjaman.

Jawapan dari zakat adalah saya tidak layak kerana saya bukan pelajar UKM (saya berstatus fellowship ketika itu, tetapi tidak diberi gaji selagi belum melanjutkan pengajian). Tiada khabar daripada agensi lain. Sedikit sedih namun saya terus berdoa dan masih berharap. Atas bantuan seorang abang saya, abg ngah yang memberi RM400 setiap bulan saya meneruskan minat dan impian saya di HUKM.

Jun 2017, saya mendapat khabar yang tidak di sangka-sangka. Menerima cek sebanyak RM1500 yang dipos ke rumah saya daripada Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP) di bawah MARA. Sekiranya permohonan ini sudah dibuka semula, saya suka agar sahabat sahabat mewarwarkan kepada semua kerana bagi saya walaupun prosesnya agak lambat, tetapi saya masih mendapat wang tersebut alhamdulillah.

Pada waktu ini, semua permohonan ditutup buat sementara. Rajin rajinkanlah diri untuk menjenguk ke laman website ini. All the best :)


Ini adalah link bagi Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP)

http://www.ypm.org.my/index.php/muatturun/borang#sdep