Wednesday, May 31, 2017

Sistem Semakan Penyata (Lejar) KPT

Salam Ramadan buat semua pembaca.

Khas untuk semua pemegang biasiswa SLAB/SLAI terutama bagi luar negara. Apabila elaun masuk ke dalam akaun, itu adalah saat yang dinanti-nantikan oleh semua. Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah memilih dan menaja kami. :)

Namun, ada kalanya elaun yang diperolehi adalah berbeza dengan sahabat-sahabat yang lain. Dan adakalanya, kita tidak tahu elaun tersebut adalah elaun apa. Selain daripada berhubung dengan pihak KPT melalui email, saya ingin tunjukkan jalan yang lebih mudah untuk mendapatkan maklumat tersebut.


Sila layari: Semakan Lejar KPT

Cuma perlu masukkan kad pengenalan anda.

Masukkan IC

Semua maklumat detail elaun
Setiap kali melihat lejar ini, saya banyak muhasabah diri. Perjalanan saya di Oxford ini adalah amanah dari seluruh rakyat Malaysia. In sha Allah saya dan sahabat-sahabat yang lain akan mencuba sebaik kami. Mohon doakan kami dipermudahkan.

Wasalam.






Sunday, May 28, 2017

Pengalaman Memohon Pertukaran Universiti di bawah Biasiswa SLAB KPT


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera untuk semua pembaca sekalian.

Malam ini agak kepenatan dengan penyelidikan. Dalam kepenatan ini, saya melihat balik kenangan-kenangan untuk dijadikan semangat. Dan saya melihat surat tawaran ini:

Surat tawaran biasiswa SLAB ke University of Oxford
Bila saya renung dan tengok surat tawaran ini, saya dapat merasakan semangat itu datang kembali. Bukan senang untuk mendapatkan biasiswa ini, tetapi Maha Suci Allah yang mempermudahkan semuanya. Semoga Allah juga mempermudahkan urusan para pembaca sekalian. Ingin berkongsi pengalaman ini, moga bermanfaat.

30 September 2015
Saya menamatkan pelajaran MSc di Imperial College di bawah Biasiswa Yang Di Pertuan Agong. Segala puji bagi Allah sebaik-baik Penentu dan Maha Penolong. Pada waktu tersebut, saya sudah mendengar ura-ura yang mengatakan kemungkinan besar pihak KPT akan mengurangkan kuota pelajar ke luar negara dan saya tanpa berpikir panjang terus membuat keputusan untuk memohon secepat mungkin. Sebelum saya pulang ke Malaysia, saya sudah memohon untuk melanjutkan pelajaran PhD ke Imperial College London di bawah supervisor saya yang terdahulu. Saya membuat permohonan lebih awal kerana saya tahu untuk mendapatkan surat tawaran universiti juga akan mengambil masa (tip: perlu awal memohon universiti jika merancang untuk memohon biasiswa).

16 Oktober 2015
Saya pulang ke Malaysia pada. Gembiranya hanya Allah yang tahu. Sehari sampai ke Malaysia, saya terus saya menghubungi pihak pendaftar UKM yang menguruskan urusan cuti belajar pensyarah untuk bertanyakan info mesyuarat cuti belajar di peringkat KPT yang terdekat. Saya dimaklumkan bahawa interview cuti belajar bersama TNC UKM akan diadakan pada pertengahan bulan November 2015 dan . Pada saat itu, hanya Allah yang tahu berdebarnya saya memikirkan sempatkah saya menghantar proposal dan surat tawaran daripada universiti untuk melanjutkan pelajaran PhD. Saya masih belum mendapat surat tawaran daripada ICL kerana terdapat sedikit masalah. Apa yang ada pada fikiran saya pada ketika itu hanyalah tawakal. Saya bisikkan pada diri saya, saya sekadar merancang dan seterusnya Allah yang menentukan. Saya juga akan berkahwin pada 12.12.2015. Di samping perlu membuat persiapan untuk perkahwinan, saya sibuk memerah otak untuk membuat proposal. Bila diingatkan kembali, saya tersenyum sendiri. Alhamdulillah, penat jerih itu sebenarnya untuk mengajar kesabaran.

Alhamdulillah, pihak pendaftar juga banyak bertoleransi dengan saya memandangkan saya belum mendapat surat tawaran lagi. Moga Allah sentiasa permudahkan urusan mereka terutama Puan Aziha yang sangat sentiasa membantu saya. Seminggu sebelum mesyuarat KPT dijalankan, alhmdulillah saya mendapat surat tawaran PhD dan terus menghantar semua borang permohonan biasiswa SLAB/SLAI untuk diproses. Mesyuarat KPT dijadualkan bersidang pada penghujung bulan Disember 2015. (tip: perlu tahu secara detail 'timeline'yang penting supaya kerja dapat disusun dengan lebih baik)

Surat tawaran PhD di Imperial College London 



Bersama BFF, yati. Malaysia we are coming home :)

Namun, tiada jawapan kunjung tiba daripada pihak KPT sehingga bulan Januari 2016. Saya sudah agak risau kerana surat tawaran PhD di Imperial College London adalah bermula bulan Februari 2016.

4 Februari 2016
Mendapat surat daripada KPT melalui pendaftar UKM yang mengatakan 3 syarat yang perlu dipatuhi:
1. Pihak KPT hanya akan menghantar pelajar ke universiti luar negara yang mempunyai 'world class ranking' sahaja.
2. Pelajar haruslah bebas daripada disenarai hitam oleh PTPTN
3. Pelajar hanya akan ditawarkan biasiswa untuk pengajian ke luar negara bermula pada September 2016.

Maka, saya dikehendaki menghantar sekali lagi surat tawaran kerana surat tawaran asal pengajian PhD saya akan bermula pada 8 Februari 2016. Alhamdulillah, saya menangguhkan pengajian PhD saya ke September 2016 (mengikut surat tawaran di bawah). Namun, biasiswa SLAB/SLAI belum pasti saya akan dapat atau tidak. Saya perlu menunggu keputusan seterusnya daripada pihak KPT dan cuti belajar UKM.


Surat tawaran terbaru PhD di Imperial College London 


Alhamdulillah, akhirnya penantian berakhir. Saya mendapat tawaran biasiswa SLAB dibawah KPT bagi pengajian ke luar negara selama 3 tahun (gambar di bawah). Syukur tidak terkira di atas semua kurniaan Allah. Terasa kesusahan sebelum ini tidak pernah dirasakan disebabkan kegembiraan menerima surat tawaran ini. Apa yang saya boleh simpulkan pada saat tersebut adalah Allah tidak akan pernah mensia siakan hambaNYA yang berusaha.

Surat Tawaran Biasiswa SLAB (PhD) ke Imperial College London



Permohonan ke University of Oxford

Saya banyak berkongsi bagaimana saya memulakan permohonan ke University of Oxford. Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut, bolehlah melayari link di bawah:

Bagaimana saya memulakan pencarian Supervisor di University of Oxford

Pengalaman temuduga di University of Oxford


Alhmdulillah, setelah saya mendapat surat tawaran daripada University of Oxford, saya perlu memohon kepada KPT dan UKM secepat mungkin bagi permohonan pertukaran universiti luar negara untuk biasiswa SLAB yang telah saya terima. Saya menerima surat tawaran ke University of Oxford pada bulan Jun 2016. Saya dijadualkan berlepas ke Imperial College London pada penghujung bulan September 2016. Oleh itu, saya perlu bertindak cepat untuk mendapatkan kelulusan KPT bagi pertukaran universiti ini.

Emel tersebut adalah seperti di bawah:


Permohonan pertukaran universiti kepada KPT dan UKM

Alhamdulillah, tidak lama kemudian mendapat maklum balas daripada pihak KPT.


Kelulusan permohonan pertukaran universiti luar negara untuk biasiswa SLAB

Official letter surat tawaran SLAB ke Universiti of Oxford.

Surat Tawaran Biasiswa SLAB (PhD) ke University of Oxford

Segalanya dipermudahkan dengan izin Allah. Sekian perkongsian saya. Dalam hidup ini, ada kalanya terlalu banyak perkara yang menghalang kita di hadapan. Jika direnung sedalam-dalamnya, penghalang yang utama adalah diri kita sendiri. Usahalah sebaik mungkin kerana setiap kesusahan itu pasti ada kemudahan (Al Insyirah: 5-6)

Mulakan langkah anda hari ini. :) All the best.